Monday, October 25, 2010

SENI BATIK


Seni Batik Tulis Seni Batik Terap


Batik dalam sejarah
Sejarah batik yang tepat  tidak dapat dipastikan tetapi artifak batik berusia lebih 2000 tahun pernah ditemui. Dari manapun asalnya, hasil seni ini telah menjadi warisan peradaban dunia.

Pemakaian batik dalam busana tradisi  mempunyai sejarah yang lama berlangsung dari zaman awal tamadun Melayu. Dipakai oleh semua golongan, dari raja ke bangsawan sampai ke rakyat jelata, batik menzahirkan dirinya sebagai seni asli yang praktikal dan popular. Dalam tradisi penulisan tradisi, kain cindai misalnya disebut dalam banyak hikayat-hikayat silam. Batik menjadi hadiah perpisahan dan perlambangan cinta dalam Hikayat Malim Deman dan persalinan dijadikan  tanda penganugerahan darjat dalam Hikayat Hang Tuah. Dalam seni wayang yang lebih terkemudian; dalam filem Sumpah Orang Minyak (P. Ramli 1968) batik dijadikan lambang pernyataan cinta yang terlarang. Dan siapa yang boleh melupakan Ramona berkemban dengan batik lepas bermandi bunga dalam Fenomena (M.Nasir 1996).



Teknik, bahan dan peralatan seni batik
         
Batik techniques, material and utensils
Busana dan corak dari zaman ke zaman
         
Couture and patterns through the ages
Seni Canting [dari lakaran ke busana]
         
Tjanting Art (from sketch to couture)
Batik Terap [dari keping-keping logam ke busana]
         
Batik Prints (from metal scraps to couture)


Perkembangan dalam seni batik

Corak batik melalui evolusi dari corak terap yang asal dengan asimilasi pengaruh seni batik Indonesia dan luar. Batik tulis berdasarkan kaedah canting dipengaruhi oleh Indonesia dan bersama-sama dengan kemunculan pewarna baru yang susuai untuk sutera membawa kepada ledakan seni batik tulis di pertengahan 90an. Batik Terengganu khususnya batik terap mempunyai kedudukan yang unik walaupun dikatakan dipengaruhi oleh seni batik Jawa. Namun begitu, seingat saya, batik Terengganu dan batik Jawa berbeza; malah sehingga kinipun pengeluar batik tradisional masih mempertahankan teknik dan corak Terengganu walaupun ada beberapa pengeluar atas alasan kos menggunakan blok yang dibawa dari Indonesia.

Cabaran dalam industri
Perkembangan batik bergantung kepada beberapa faktor dari reka bentuk, bahan, artisan hinggalah kepada trend citarasa semasa. Ledakan 90an telah surut mendadak akibat lebihan bekalan dan ketiadaan kawalan mutu. Peniru melambak di pasaran. Pergantungan industri kepada tekstil dan pewarna yang diimpot juga menjadikan industri ini kurang daya tahannya. Tanpa perlindungan kerajaan, kos bahan mentah yang tinggi, saingan yang melampau dan perubahan citarasa kepada tekstil impot menjuruskan industri ini ke senja.


Masa depan batik
Ketahanannya merentas masa adalah faktor yang akan meneruskan sejarah batik. Seninya akan hidup melewati usia industri dan peredaran dunia fesyen akan membawa batik popular kembali. Demikian, keperluan kepada idea dan kaedah baru amatlah dirasai.




Seni Batik
Seni batik adalah satu kaedah reka bentuk dan pencorakan tekstil yang diaasaskan kepada penggunaan lilin dan pewarna. Lilin digunakan sebagai pemisah warna yang dilukis atau diterap ke atas permukaan tekstil. Warna kemudiannya disampaikan kepada tekstil samada dengan kaedah celupan atau menggunakan berus. Seni batik unik dan istimewa kerana tidak ada sehelai batik yang sama dengan yang lain sekalipun menggunakan blok cap dan warna yang sama. Keunikan setiap helai ini tambah terserlah dalam seni batik tulis.
 Seni Batik Terap

Batik terap merupakan seni batik asal Terengganu yang mempunyai warisan yang lama. Beberapa catatan sejarah merakam penggunaan batik yang berusia lebih daripada seratus tahun. Batik terap menggunakan teknik cap iaitu aplikasi lilin dengan blok cap dan pewarnaan secara celupan ke dalam pewarna. Kaedah ini digunakan untuk menghasilkan batik sarung dan batik lepas yang popular dalam kegunaan harian. Kaedah celupan hanya memungkinkan warna yang sekata dan datar walaupun terapan dan celupan ulangan boleh dibuat  untuk mendapatkan warna akhir yang lebih banyak. Kaedah cap dan celup ini memungkinkan pengeluaran batik yang agak cepat untuk pasaran.
 Anatomi sehelai batik
        
Anatomy of a batik piece 
Tidak seperti corak batik kontemprari yang banyak dipengaruhi oleh Batik Jawa [sebahagiannya dicetak di Indonesia tetapi diedar di Terengganu sebagai Batik Terengganu] dan corak yang moden dan bebas, Batik Terengganu yang asli mempunyai anatomi yang tersendiri. Sehelai batik mempunyai bahagian-bahagian corak yang khusus dengan panggilan 'patak' [pantat / dasar], kaki dan sebagainya. Penggunaan corak dan warna juga mempunyai kaitan yang rapat dengan anatomi batik tadi.
Batik Terap [dari keping-keping logam ke busana]
         
Batik Prints (from metal scraps to couture)

Dilihat dari kepingan kain batik yang siap, tidak siapa menyangka yang kisah sehelai batik bermula dari keping-keping logam yang diambil dari tin-tin kosong yang terbuang. Blok cap yang dibuat dari pada keping-keping logam yang dipotong daripada tin-tin yang dibuang inilah yang menentukan corak dan rupa akhir kain batik yang akhirnya dijelmakan pada busana yang indah. Daripada lakaran corak corak batik yang disediakan oleh pereka batik , kepingan-kepingan logam ini dibentuk dan dipateri menurut garis lakaran yang disediakan oleh pereka blok cap. Blok asas ini kemudiannya dilekatkan pada kepingan bingkai papan dan dipasang tangkai. Sepasang [satu set] blok mengandungi beberapa bahagian yang merujuk kepada anatomi kain batik. Penerap kadangkala mengambil bahagian-bahagian berasingan dari sat pasang untuk membentuk corak yang berbeza. Blok yang siap ini sendirinya merupakan satu kerja seni yang halus dan cantik.

Dari blok cap ke batik
Blok-blok yang mewakili bahagian yang berbeza pada sehelai kain ini dicelup ke dalam lilin cair dan diterap ke atas kain. Terapan lilin ini menjadi pemisah antara tekstil dan warna. Bergantung kepada warna akhir yang diperlukan pada sehelai batik, terapan dan celupan dibuat berulang-ulang sebelum ianya dicelur, dijemur kering dan dilipat untuk dipasarkan.


Petugas dalam menghasilkan sehelai batik terap
Tukang cat
Tukang blok
Tukang terap
Tukang celur
Tukang jemur
Tukang lipat



Seni Batik Tulis
Seni Canting [dari lakaran ke busana]
         
Tjanting Art (from sketch to couture)
Teknik, bahan dan peralatan seni batik
         
Batik techniques, material and utensils
Busana dari zaman ke zaman
         
Couture through the ages


No comments:

Post a Comment