Monday, October 25, 2010

SENI TENUNAN

Tenunan Pua



Kehalusan dan keindahan seni kraftangan Sarawak jelas terpancar melalui warisan pelbagai hasil kraftangan kaum etnik yang terdapat di Sarawak. Pua, tenunan ikat-lungsin yang diwarisi turun-temurun oleh suku kaum Iban memaparkan identiti dan pegangan kuat kaum tersebut kepada adat dan tradisi hidup.

Kombinasi warna coklat kemerah-merahan yang terdapat pada tenunan pua cukup harmonis dan menarik. Motif tumbuh-tumbuhan, binatang dan lambang makhluk seperti corak cicak (engkarong), buaya, lembaga manusia (engkaramba) dan sebagainya memaparkan keunikan rekacorak tradisi tenunan pua. Namun demikian, penenun pua kini lebih tertumpu kepada motif moden seperti bentuk tumbuh-tumbuhan dan geometrik.

Selain daripada kegunaan di upacara adat istiadat dan keagamaan, tenunan pua juga boleh dijadikan pelbagai jenis pakaian tradisi. Antaranya ialah bidang (skirt), sirat (cawat), kalambi (jaket) dan dangdong (kain sarung).

Jalinan hasil tenunan dan kegemilangan kombinasi warna dan corak tenunan yang mempersonakan, memaparkan keindahan serta nilai estetika dan mistik tenunan pua yang masih terpelihara hingga ke hari ini.

ALAT DAN BAHAN

1. Jengkuan
2. Kayu tebal
3. Lidi panjang
4. Kayu lambongan
5. Kayu karap
6. Beliak
7. Pelayang
8. Kayu rakup
9. Sengkabit
10. Benang
11. Tali rafia
12. Pewarna

Peralatan dan bahan

Menenun kain pua

PROSES MENENUN KAIN PUA

Memproses Benang

Benang putih yang telah dipilih direndam semalaman di dalam air bersih. Kemudian dimasukkan ke dalam campuran kanji supaya benang yang akan digunakan dalam tenunan pua ini tidak berbulu dan tidak mudah putus.


Menggulung Benang

Benang mentah yang telah dikanji dan dikeringkan akan dimasukkan ke dalam 'Pelayang Benang' untuk digulung dalam bentuk bebola.


Menggirit

Alat tenunan (tumpoh) akan digunakan dalam proses ini. Proses menggirit dilakukan dengan membawa mangkuk yang berisi benang dari bahagian kiri alat tenunan dan dibawa dari bawah ke atas dan diselitkan anak-anak kayu di antaranya untuk memudahkan kerja-kerja mengarap kelak.

Mengarap

'Kayu Lambongan' digunakan untuk memasukkan benang yang terselit antara kayu-kayu kecil dan dikait menggunakan jari. Benang ini kemudian akan diikat pada kayu kecil yang disusunkan antara 'Kayu Lambongan' dan 'Beliak'.


Menegi

Proses menegi dilakukan supaya memudahkan lagi proses mengikat. Benang yang telah digarap akan ditegi kepada dua bahagian (bahagian atas dan bawah). Setelah siap ditegi dan dijahit pada bahagian atas dan bawah, benang akan ditegangkan dengan diselitkan dua batang kayu di atas 'Tangga Benang'.


Mengikat Motif (Pertama)

Jaluran-jaluran benang tadi akan diikat berpandukan corak yang dikehendaki dengan tali 'rafia'. Tujuan mengikat ialah supaya ikatan tidak diserap oleh warna apabila melakukan proses pencelupan kelak.


Mencelup Warna (Pertama)

Benang yang telah diikat dikeluarkan dari tangga benang, direndam dan dibilas dengan air. Kemudian, ia dicelup ke dalam bahan pewarna mengikut warna yang dikehendaki. Selalunya warna merah menjadi pilihan proses mewarna pertama tenunan pua ini.


Mengikat Motif (Kedua)

Benang yang telah dikeringkan, akan menjalani proses mengikat kali kedua tapi ikatan yang pertama tadi dibiarkan (tidak dibuka). Cuma ikatan pada benang ditambah untuk tujuan mencelup warna kedua.


Menenun Pua

Benang yang telah dibuka ikatan akan dimasukkan pada alat tenunan. Bahagian atas benang dimasukkan pada kayu rakup dan bahagian bawah akan disusupkan pada kayu panjang sebelum diikat pada bahagian bawah alat tenunan dan ditarik sehingga tegang. Bahagian bawah ini disambung dengan 'Sengkabit' (alas belakang semasa menenun). Kemudian, benang yang dilancarkan dengan 'Jengkuan' akan dipangkah oleh benang kapas untuk dijadikan kain pua pula.


Sumber: Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia

SENI UKIRAN KAYU

Ukiran Kayu

PENGENALAN

Ukiran kayu atau di seni ukir merupakan seni pertukangan tangan yang menjadi satu tradisi dalam masyarakat Melayu sejak turun temurun lagi. Seni ukir akan memperkenalkan teknik dan motif bunga ukir yang menjadi identiti ukiran Melayu tradisi. Menghasikan sebuah karya seni ukir memerlukan kemahiran daripada memilih kayu, memproses kayu, memilih dan melukis motif ukiran hinggalah mengukir silat dengan menggunakan pemahat dan pisau wali.



Sejarah perkembangan Ukiran kayu


Sukar untuk melihat catatan untuk mengetahui sejarah awal ukiran kayu. Namun demikian catatan sejarah dari perjumpaan di zaman batu Neolitik di Asia Tenggara menunjukkan terdapatnya pengukir-pengukir handal telah wujud di zaman dahulu. Ini terbukti ukiran yang terdapat pada belanga, gelang, kendi dan pinggan mangkuk. Sejarah awal mengenai ukiran kayu di negara ini boleh diketahui setelah kita membaca buku Sejarah Melayu atau Sulalatus Salatin. Buku yang dikarang oleh Tun Sri Lanang itu ditulis pada abad ke-17. Dalam tulisan Tun Sri Lanang, tercatat keindahan seni bina istana Sultan Mansur Syah yang memerintah Melaka pada tahun 1459 hingga tahun 1477. Istana berukir indah itu digelar oleh rakyat Melaka sebagai ‘Istana Hawa Nafsu’. Seni ukir di negara ini telah pun berkembang lebih awal lagi daripada catatan Tun Sri Lanang, namun tidak ada catatan mengenainya. Satu lagi catatan silam mengenai seni bina ialah Hikayat Misa Melayu. Dalam hikayat itu digambarkan mengenai seni ukir di istana yang terletak di Pulau Indera Sakti, sebuah tempat di Kuala Sungai Kinta, Perak Darul Ridzuan semasa pemerintahan Sultan Iskandar Zulkarnain (1756 - 1780).

Di negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang dan Kedah adalah negeri yang mempunyai pengukir dari turun temurun. Dikata bahawa kebanyakan ukiran kayu adalah terpengaruh dengan motif ukiran negara Siam, kerana pada suatu masa dahulu negeri ni di bawah pengaruh Siam. Ini adalah berdasarkan corak ukiran masjid, wakaf, istana dan rumah-rumah lama banyak persamaan dengan seni ukir negeri Siam. Tidak menghairankan kalau dikatakan bahawa seni ukir di negara ini telah didatangi dari selatan negeri Thailand iaitu Patani.

BENTUK-BENTUK UKIRAN

a. Ukiran Tebuk Tembus
Ukiran tebuk berasal dari sekeping papan atau beberapa keping papan yang ditebuk dengan menggunakan gerudi gergaji (gergaji menggerudi) supaya tembus bentuk-bentuk bunga atau corak. Terdapat dua jenis ukiran jenis ini, iaitu ukiran tebuk tidak silat dan ukiran tebuk silat.

Ukiran tebuk tidak silat banyak terdapat pada rumah-rumah lama iaitu bahagian selasar, lambur, dinding, pintu, perabot dan mimbar masjid. Bentuk bunga ukir ialah awan larat, siling, kaligrafi dan simetri. Bagi ukiran tebuk silat, bahagian yang menindih serta melengkung keluar ditimbulkan dan bahagian yang melengkung ke dalam serta yang tertindih ditenggelamkan. Sesungguhnya silat ialah istilah yang menunjukkan bahagian yang timbul dan tenggelam serta papan tebuk disobek. Bunga ukir yang terdapat pada bentuk ini ialah awan larat, silang dan simetri.




b. Ukiran Bunga Timbul

Ukiran ini tidak tembus. Ia mengandungi bunga ukir yang disilatkan dan tidak silat. Terdapat pada perabot, mimbar masjid, barang hiasan yang diperbuat daripada kayu, ulu serta sampir senjata. Bunga ukirnya sama seperti ukiran tebuk.


c. Ukiran Arca

Ukiran ini banyak terdapat pada ulu senjata seperti ulu keris, kepala tongkat, kukur kelapa, kotak nelayan dan sebagainya. Bunga ukirannya sama seperti ukiran timbul tetapi lebih halus dan kecil.



d. Larik

Melarik merupakan satu cara orang-orang Melayu mengukir kayu. Ukiran larik berbentuk bulat dengan susunan gerlang-gerlang dan genting-gentat yang menarik. Ukiran ini sering terdapat pada ulu senjata, perabot, tongkat, gasing, tiang-tiang rumah dan sebagainya.

d. Ukiran Kayu Hanyut

Ukiran ini di anggap masih baru. Ukiran idi diperkenalkan oleh Perbadanan Kraf tangan Malaysia. Ukiran ini hanya sebagai hiasan semata-mata. Ukiran kayu hanyut diukir pada bahagian-bahagian tertentu dan dibentuk menyelupai ikan, burung dan sebagainya. Kayu induknya di ambil dari kayu atau akar yang terdapat dalam sungai.



TOKOH-TOKOH UKIRAN

1.Encik Latiff bin Long

Latiff bin Long dilahirkan di Besut Terengganu, Beliau adalah seorang pengukir ukiran kayu yang mahir. Mewarisi bakat ayahnya yang berasal daripada keluarga yang mempunyai enam keturunan tukang kayu yang handal. Bapa Latiff juga terkenal dengan seorang pengukir. Ukirannya masih tersimpan di istana Raja Besut yang terdapat di muzium negeri Terengganu. Latiff telah menerima pengajaran ukiran kayu dari bapanya sejak berumur lima tahun. Beliau pernah memenangi pertandingan Kraftangan ukiran kayu semasa bersekolah. Pada tahun 1971 beliau memenangi tempat pertama dalam pertandingan Ukiran Kayu Jenis silat dalam Pameran Ukiran Kayu berlangsung di Balai Seni Lukis Negara. Kini Latiff Long adalah pengusaha Ukiran yang terkenal dan membuka bengkelnya di Pasir tumbuh Kelantan dan banyak menerima tempahan dari dalam dan luar negara.

2. Tuan Haji Wan Su bin Othman

Wan Su juga merupakan dari keturunan pengukir terkenal di daerah Besut Terengganu. Ukirannya sangat halus dan mempunyai unsur tradisi. Wan Su cukup mahir dengan motif-motif ukiran kayu. Sehingga kini beliau telah dipilih oleh Lembaga Kraftangan Malaysia sebagai Adiguru bagi ukiran kayu. Pengiktirafan ini adalah diperingkat tertinggi oleh kraftangan Malaysia. Bengkel beliau terletak di Besut Terengganu dan banyak menerima tempahan dari dalam dan luar negara.

SENI BATIK


Seni Batik Tulis Seni Batik Terap


Batik dalam sejarah
Sejarah batik yang tepat  tidak dapat dipastikan tetapi artifak batik berusia lebih 2000 tahun pernah ditemui. Dari manapun asalnya, hasil seni ini telah menjadi warisan peradaban dunia.

Pemakaian batik dalam busana tradisi  mempunyai sejarah yang lama berlangsung dari zaman awal tamadun Melayu. Dipakai oleh semua golongan, dari raja ke bangsawan sampai ke rakyat jelata, batik menzahirkan dirinya sebagai seni asli yang praktikal dan popular. Dalam tradisi penulisan tradisi, kain cindai misalnya disebut dalam banyak hikayat-hikayat silam. Batik menjadi hadiah perpisahan dan perlambangan cinta dalam Hikayat Malim Deman dan persalinan dijadikan  tanda penganugerahan darjat dalam Hikayat Hang Tuah. Dalam seni wayang yang lebih terkemudian; dalam filem Sumpah Orang Minyak (P. Ramli 1968) batik dijadikan lambang pernyataan cinta yang terlarang. Dan siapa yang boleh melupakan Ramona berkemban dengan batik lepas bermandi bunga dalam Fenomena (M.Nasir 1996).



Teknik, bahan dan peralatan seni batik
         
Batik techniques, material and utensils
Busana dan corak dari zaman ke zaman
         
Couture and patterns through the ages
Seni Canting [dari lakaran ke busana]
         
Tjanting Art (from sketch to couture)
Batik Terap [dari keping-keping logam ke busana]
         
Batik Prints (from metal scraps to couture)


Perkembangan dalam seni batik

Corak batik melalui evolusi dari corak terap yang asal dengan asimilasi pengaruh seni batik Indonesia dan luar. Batik tulis berdasarkan kaedah canting dipengaruhi oleh Indonesia dan bersama-sama dengan kemunculan pewarna baru yang susuai untuk sutera membawa kepada ledakan seni batik tulis di pertengahan 90an. Batik Terengganu khususnya batik terap mempunyai kedudukan yang unik walaupun dikatakan dipengaruhi oleh seni batik Jawa. Namun begitu, seingat saya, batik Terengganu dan batik Jawa berbeza; malah sehingga kinipun pengeluar batik tradisional masih mempertahankan teknik dan corak Terengganu walaupun ada beberapa pengeluar atas alasan kos menggunakan blok yang dibawa dari Indonesia.

Cabaran dalam industri
Perkembangan batik bergantung kepada beberapa faktor dari reka bentuk, bahan, artisan hinggalah kepada trend citarasa semasa. Ledakan 90an telah surut mendadak akibat lebihan bekalan dan ketiadaan kawalan mutu. Peniru melambak di pasaran. Pergantungan industri kepada tekstil dan pewarna yang diimpot juga menjadikan industri ini kurang daya tahannya. Tanpa perlindungan kerajaan, kos bahan mentah yang tinggi, saingan yang melampau dan perubahan citarasa kepada tekstil impot menjuruskan industri ini ke senja.


Masa depan batik
Ketahanannya merentas masa adalah faktor yang akan meneruskan sejarah batik. Seninya akan hidup melewati usia industri dan peredaran dunia fesyen akan membawa batik popular kembali. Demikian, keperluan kepada idea dan kaedah baru amatlah dirasai.




Seni Batik
Seni batik adalah satu kaedah reka bentuk dan pencorakan tekstil yang diaasaskan kepada penggunaan lilin dan pewarna. Lilin digunakan sebagai pemisah warna yang dilukis atau diterap ke atas permukaan tekstil. Warna kemudiannya disampaikan kepada tekstil samada dengan kaedah celupan atau menggunakan berus. Seni batik unik dan istimewa kerana tidak ada sehelai batik yang sama dengan yang lain sekalipun menggunakan blok cap dan warna yang sama. Keunikan setiap helai ini tambah terserlah dalam seni batik tulis.
 Seni Batik Terap

Batik terap merupakan seni batik asal Terengganu yang mempunyai warisan yang lama. Beberapa catatan sejarah merakam penggunaan batik yang berusia lebih daripada seratus tahun. Batik terap menggunakan teknik cap iaitu aplikasi lilin dengan blok cap dan pewarnaan secara celupan ke dalam pewarna. Kaedah ini digunakan untuk menghasilkan batik sarung dan batik lepas yang popular dalam kegunaan harian. Kaedah celupan hanya memungkinkan warna yang sekata dan datar walaupun terapan dan celupan ulangan boleh dibuat  untuk mendapatkan warna akhir yang lebih banyak. Kaedah cap dan celup ini memungkinkan pengeluaran batik yang agak cepat untuk pasaran.
 Anatomi sehelai batik
        
Anatomy of a batik piece 
Tidak seperti corak batik kontemprari yang banyak dipengaruhi oleh Batik Jawa [sebahagiannya dicetak di Indonesia tetapi diedar di Terengganu sebagai Batik Terengganu] dan corak yang moden dan bebas, Batik Terengganu yang asli mempunyai anatomi yang tersendiri. Sehelai batik mempunyai bahagian-bahagian corak yang khusus dengan panggilan 'patak' [pantat / dasar], kaki dan sebagainya. Penggunaan corak dan warna juga mempunyai kaitan yang rapat dengan anatomi batik tadi.
Batik Terap [dari keping-keping logam ke busana]
         
Batik Prints (from metal scraps to couture)

Dilihat dari kepingan kain batik yang siap, tidak siapa menyangka yang kisah sehelai batik bermula dari keping-keping logam yang diambil dari tin-tin kosong yang terbuang. Blok cap yang dibuat dari pada keping-keping logam yang dipotong daripada tin-tin yang dibuang inilah yang menentukan corak dan rupa akhir kain batik yang akhirnya dijelmakan pada busana yang indah. Daripada lakaran corak corak batik yang disediakan oleh pereka batik , kepingan-kepingan logam ini dibentuk dan dipateri menurut garis lakaran yang disediakan oleh pereka blok cap. Blok asas ini kemudiannya dilekatkan pada kepingan bingkai papan dan dipasang tangkai. Sepasang [satu set] blok mengandungi beberapa bahagian yang merujuk kepada anatomi kain batik. Penerap kadangkala mengambil bahagian-bahagian berasingan dari sat pasang untuk membentuk corak yang berbeza. Blok yang siap ini sendirinya merupakan satu kerja seni yang halus dan cantik.

Dari blok cap ke batik
Blok-blok yang mewakili bahagian yang berbeza pada sehelai kain ini dicelup ke dalam lilin cair dan diterap ke atas kain. Terapan lilin ini menjadi pemisah antara tekstil dan warna. Bergantung kepada warna akhir yang diperlukan pada sehelai batik, terapan dan celupan dibuat berulang-ulang sebelum ianya dicelur, dijemur kering dan dilipat untuk dipasarkan.


Petugas dalam menghasilkan sehelai batik terap
Tukang cat
Tukang blok
Tukang terap
Tukang celur
Tukang jemur
Tukang lipat



Seni Batik Tulis
Seni Canting [dari lakaran ke busana]
         
Tjanting Art (from sketch to couture)
Teknik, bahan dan peralatan seni batik
         
Batik techniques, material and utensils
Busana dari zaman ke zaman
         
Couture through the ages